Sunday, June 21, 2009

Kalung Hobi Saya: Bagaimana Ia Bermula



Benda ni kalau tak silap termasuk dalam sukatan pelajaran drawing masa sekolah rendah dulu. Tapi saya tak ingat apa apa mengenai keupayaan saya melakar kalung. Yang saya ingat pasal matapelajaran itu adalah apabila kami disuruh melukis cicak (benda hidup), dan saya lebih menikmati keindahan hasil lukisan teman sedarjah saya daripada lukisan saya sendiri.


Tapi kalung telah saya perhati dari lakaran pada kelempit (perisai kayu) yang juga termasuk sebagai keperluan sukatan pelajaran sekolah rendah. Bukan juga saya yang buat.


Kalung juga kelihatan menarik pada sa’ung (sunhat) sebagai anyaman manik berwarna warni. Saya ingat saung emak yang besar terhias gantung di dinding kami.


Kalung juga saya perhati menonjol sebagai lakaran jelas pada beberapa pintu rumah panjang.
Saya juga melihat kalung sebagai bahan tonjolan seni pada hujung perahu, pada keranda, pada bumbung padi, pada dnding dan liang (cemetery).


Kalung ada pada bening (baby carrier) sebagai aban (anyaman manik) pada banyak benda terpakai.


Wah. Rupanya kalung adalah sebahagian dari budaya kami.


Tetapi saya tidak ingat memahami dan menguasai keupayaan melakar kalung, walaupun pernah melihat dan mencuba ikut ikut orang tua membuat kalung.


Terpendamlah saja budaya itu sebagai hikayat. Hinggalah tahun 1981.


Saya mulai menemui kecantikan di dalam kalung dan mencari kreativiti di sebalik kalung, bukan membuat sendiri bentuk kalung tetapi cuba meniru bentuk bentuk kalung dari foto dan rupa kalung. Buku adalah rujukan yang membuka mata tradisi sempit saya bahawa kalung adalah amalan budaya lebih luas, menjangkau hingga ke bangsa dan warganegara. Saya menampal dinding bilik saya dengan cebisan majalah macam macam dipotong mengikut motif kalung tidak menentu.


Tahun 1986 saya melihat sendiri keagungan kalung di negara jiran, kampung pecahan bangsa sendiri, yang ternyata mempunyai catatan sejarah unggul memaparkan seni budaya unik ini.
Pada masa yang sama revolusi seni tampak kalung pada fesyen dan pakaian (yang kemudiannya dinamakan pakaian Orang Ulu) muncul dalam pasaran. Saya meilhat pendagangan kalung dalam fesyen. Cuma saya masih belum mampu melakarnya sendiri. Hanya sekadar membaiki keupayaan meniru motif sedia ada dan memindahkannya ke media baru.


Tahun 1991. Tangan mulai gatal. Bermula dengan meniru bentuk, jari saya mulai keluar garisan dan mendapati ruang luas sebagai terlalu luas untuk mencari kalung. Saya memiliki bengkel kecil melakar dan menyembur warna kalung pada plywood. Hobi ini berlarutan hingga menemui dinding di Sandakan sebagai tapak lakaran dan semburan.


Dan kini, kalung rupa rupanya ada di hujung jari. Ke mana ia pergi, ia mampu melakar diri.
Ratusan hasil lakaran di dalam lemari entah apa mauk buat dengan benda benda ini.


Cuma mungkin sebab ia hanya satu hobi, mungkin satu hari ada orang boleh bagi idea untuk bikin benda benda ini lebih menarik lagi supaya boleh tergantung atau terpapar sebagai bahan nyata yang boleh dihayati. Ini hanya andaian kalau orang ada minat yang sama. Ia ada potensi besar untuk masih dipelopori secara ekonomi.

No comments:

Post a Comment